Pembudayaan Integriti dalam Pentaksiran Pendidikan (Bag. 4)

Integriti dalam Pentaksiran
Pentaksiran merupakan satu proses mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat penghakiman serta pertimbangan tentang produk sesuatu proses pendidikan. Pentaksiran merupakan satu proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menginterpretasi maklumat tentang pembelajaran seseorang pelajar bagi sesuatu tujuan (LPM, 2015). Pentaksiran juga merupakan satu proses untuk mendapatkan gambaran tentang prestasi pembelajaran seseorang pelajar dalam sesuatu subjek atau aktiviti pembelajaran. Aktiviti pentaksiran dijalankan secara berterusan.
Tujuan pentaksiran dilakukan adalah untuk mengesan sejauh mana perkembangan kanak-kanak dan apa yang perlu dilakukan jika terdapat kanak-kanak yang lewat perkembangan dan tindakan perlu diambil dengan kadar segera serta aktiviti apa yang sesuai dilaksanakan untuk mereka. Pentaksiran ini melibatkan pemerhatian ke atas aktiviti dan rutin harian kanak-kanak yang melibatkan domain-domain perkembangan seperti motor halus, motor kasar, kognitif, sosioemosi, dan bahasa (Brassard & Boehm 2007). Pentaksiran terbahagi kepada dua iaitu pentaksiran formatif dan pentaksiran sumatif. Pentaksiran formatif boleh dilakukan sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran atau setiap hujung bulan dengan menggunakan teknik sokratik, pemerhatian melalui gambar dan juga video. Manakala pentaksiran sumatif pula dilaksanakan bukan hanya tertumpu kepada ujian bertulis di setiap penggal sahaja, namun merekod menggunakan senarai semak, rubrik dan skala kedudukan juga boleh dilakukan pada setiap 6 bulan atau pun selepas satu tema telah habis disentuh atau diajar kepada kanak-kanak. Namun begitu, pelaksanaan pentaksiran sumatif terpulang kepada kesesuaian kurikulum kecuali apabila kanak-kanak mempunyai keperluan khas atau kepelbagaian tertentu yang memerlukan perhatian khusus.
Ahmad (2014) menyatakan bahawa ciri utama daripada pentaksiran yang betul ialah: merangsang pengajaran, kesahan, adil dan beretika, kepelbagaian kaedah, berkesan dan boleh dilaksanakan, serta menggunakan teknologi. Shepard (2000) menyatakan bahawa pentaksiran bukanlah hanya aktiviti yang bertumpu pada audit, melainkan untuk menjadi perangsang bagi perbaikan proses pembelajaran. Selanjutnya, Ahmad (2014) menyatakan bahawa guru mesti menunjukkan keadilan dan etika dalam mengamalkan pentaksiran. Merujuk kepada Standard for Educational and Psychological Testing (1999), keadilan merangkumi empat aspek iaitu tindakan yang tidak berat sebelah, saksama, wajar, dan kesamaan peluang dalam mendapatkan pembelajaran.
Daryamto (1999) menyebutkan bahawa prinsip-prinsip pentaksiran yang betul adalah adanya kepaduan (integriti), keberlibatan murid, koherensi, pedagogik, dan akuntabiliti (guru memiliki tanggungjawab mengamalkan pentaksiran yang betul). Manakala Ridhuan (2017) menyatakan bahawa ciri- ciri daripada pentaksiran yang betul adalah: 1) kesahan Skor: merujuk kepada relevan dan kecukupan cakupan; 2) kebolehpercayaan Skor : Merujuk kepada ketekalan dan ketepatan; 3) keobjektifan : Ketepatan seseorang pentaksir memberikan skor; 4) kebolehtadbiran : Kelicinan kerja-kerja mentadbir ujian yang dilaksanakan secara berpusat atau berasaskan sekolah; 5) kemudahtafsiran : Maklumat tentang calon berdasarkan skor, diskrimininasi antara calon, ketepatan tujuan mengadakan ujian; dan 6) kekomprehensifan : Kertas soalan mewakili semua objektif penting.
Bila merujuk pada kenyataan tersebut, maka selayaknya pentaksiran diamalkan secara berintegriti oleh seseorang guru. Pentaksiran yang baik harus dijalankan dengan betul; dan guru yang betul ialah guru yang berintegriti. Integriti daripada personaliti seseorang guru akan menjadi driver (pendorong) bagi guru tersebut menjalankan pentaksiran yang bersesuaian dengan prinsip-prinsip daripada pentaksiran yang baik. Meskipun guru memiliki kemahiran dan kecekapan teknikal; tetapi tidak mempunyai integriti, guru itu tidak akan dapat menjalankan dengan betul. Itu kerana ianya tidak memiliki kekuatan (power) yang datang dari hatinya. Justeru, guru tersebut akan sulit untuk boleh tepat waktu dan konisten dalam menjalankan tugas-tugasnya itu.
Author Profile
